Thursday, April 24, 2014

KESAN PLASEBO

Mungkin ramai dari kita tidak pernah mendengar frasa “efek placebo”. Sebenarnya istilah placebo hanya berlaku dalam bidang farmaseutikal dan kesihatan. Penjelasannya sangat mudah; iaitu manusia bertindak balas mengikut hukum psikologi.

Lalu sekiranya sebuah kaedah perubatan palsu atau sejenis ubat tiruan yang digambarkan sebagai ubat yang mustajab, didatangkan dengan pakej lengkap – harga yang mahal, testimonial yang berjela, pembungkusan yang eksklusif dan dikatakan dicipta oleh profesor yang hebat – maka pesakit yang melazimi kaedah tersebut atau yang memakan ubat itu akan menunjukkan kesan pembaikan yang cepat, seperti ubat asli atau seperti kaedah rawatan yang sebenar.

Justeru pesakit akan percaya bahawa ubat atau kaedah tersebut sangat mujarab! Tetapi mereka tidak tahu bahawa mereka telah ditipu; sedangkan yang membantu penyembuhan mereka adalah situasi psikologi yang sentiasa positif.

Kesan placebo ini boleh dibuktikan dalam makmal dengan menggunakan kaedah “Buta Berganda” atau Double Blind, iaitu sejumlah pesakit yang mengalami masalah yang sama akan dibahagikan kepada dua kelompok. Satu kelompok dibekalkan dengan ubat asli sementara kelompok lain diberikan dengan ubat palsu, dengan syarat pesakit dan para doktor yang merawat tidak mengetahui bahawa mereka sedang diuji dengan ubat palsu.

Namun di situ ada sebuah pertanyaan barangkali; bagaimana kita mengetahui ubat itu palsu atau asli? Inilah satu perkara yang sangat rumit untuk dijawab dan dibuktikan. Selalunya yang mengetahui masalah ini hanya ada dua kelompok, iaitu kelompok yang terlibat dalam menghasilkan ubat palsu dan satu lagi hanyalah para pakar yang memang telah bergelumang dalam bidang farmasi.